
Oleh: Fizani Chua
MUKAH – Jambatan Batang Igan akan dibuka kepada orang ramai mulai Mac ini, sekali gus menamatkan perkhidmatan feri ke Matu dan Daro yang sebelum ini menjadi penghubung utama penduduk setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan berkenaan dijadualkan dibuka sepenuhnya pada 15 Mac ini, iaitu lima hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Ini bagi memudahkan pergerakan penduduk dan merancakkan aktiviti sosioekonomi setempat,” katanya selepas merasmikan jambatan itu pada Rabu.
Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak menjelaskan bahawa struktur utama jambatan berkenaan telah siap dan kini berada di peringkat akhir sebelum kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan.
“Pembukaan jambatan ini akan memberi manfaat besar kepada masyarakat, khususnya dalam menghubungkan daerah kecil seperti Matu dan Daro ke Mukah dengan lebih pantas dan efisien,” katanya lagi.

Tambah beliau, Jambatan Batang Igan merupakan salah satu daripada tiga jambatan utama di Bahagian Mukah, manakala kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menyasarkan pembinaan sembilan lagi jambatan yang dijangka siap tahun ini.




