
KOTA KINABALU – Datuk Jamawi Jaafar hari ini memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), menandakan komitmennya memacu pembangunan sektor pertanian, perikanan serta keselamatan makanan negeri.
Pada sebelah pagi, beliau menghadiri Mesyuarat Kabinet Negeri pertamanya di Menara Kinabalu sebelum melaksanakan simbolik ‘clock in’ pada pukul 4.17 petang sebagai pengesahan rasmi peranan beliau di kementerian.
Jamawi, yang baru dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) memperoleh kemenangan dengan 5,064 undi.

Beliau yang mewakili Pakatan Harapan (PH)–PKR mengatasi tujuh calon lain, termasuk daripada Warisan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Impian Sabah (PIS) serta dua calon bebas.
Pelantikan beliau dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh dasar-dasar berkaitan agromakanan, terutamanya dalam usaha memastikan Sabah lebih berdaya saing dan berdaya tahan dalam agenda keselamatan makanan.





