
KUCHING – Sarawak bakal melaksanakan projek menaik taraf jalan raya dari bulatan Yayasan Sarawak hingga ke Pantai Damai, Santubong kepada empat lorong yang turut dilengkapi dengan laluan Transit Aliran Autonomi (ART).
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek infrastruktur baharu itu bertujuan mengatasi kesesakan dan merancakkan pembangunan di kawasan pesisir dan pelancongan.
Menurutnya, selain pelebaran jalan kepada dua lorong sehala, projek tersebut turut merangkumi pembinaan jambatan baharu di Santubong serta lorong khas untuk basikal dan motosikal bagi tujuan keselamatan dan riadah.
“Kita akan mulakan jalan raya baharu dari bulatan Yayasan Sarawak sampai ke Pantai Damai. Jalannya empat lorong, dua lorong menuju Kuching dan dua lorong ke Santubong serta ditambah jambatan Santubong.
“Ia juga laluan untuk ART dan kita sediakan ‘special lane’ (lorong khas) untuk motosikal dan basikal sebagai kemudahan senaman dan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Spektra Permata (RSP) Skim Pembesaran Kampung (SPK) pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Abang Johari memberitahu, pelaksanaan projek berimpak tinggi itu mampu direalisasikan hasil peningkatan pendapatan negeri yang melonjak daripada RM6 bilion kepada RM14 bilion dalam tempoh enam tahun.
Jelasnya, hasil pendapatan negeri itu dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pembangunan infrastruktur, perumahan dan pendidikan percuma di peringkat universiti.
“Bila pendapatan kita bertambah, saya bertekad pulangkan balik kepada rakyat. Kita bina jambatan, jalan raya dan sediakan rumah yang selesa.
“Anak-anak kita yang masuk universiti kelak juga tidak perlu membayar yuran, kerajaan tanggung sepenuhnya,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan perumahan, Abang Johari turut meluluskan tambahan 15 hektar tanah bagi fasa seterusnya projek perumahan di kawasan tersebut bagi menampung permintaan tinggi penduduk setempat.
“Hari ini kita serahkan 62 unit, tetapi dalam senarai ada 200 orang yang memohon.
“Justeru, saya luluskan 15 hektar lagi untuk kita bangunkan lebih 60 unit tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar 120 unit rumah,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa apabila siapnya Jambatan Sejingkat pada hujung tahun ini, ia akan melengkapkan jaringan jalan raya pesisir yang menghubungkan Bako, Samarahan, Sebuyau hingga ke Lingga, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)






