
LAHAD DATU – Seorang lelaki menemui sebiji bom dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua semasa menjala ikan di tebing Sungai Segama, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, bom jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb itu berukuran 40 sentimeter lilit, panjang 30 sentimeter dan dianggarkan seberat 500 lbs (pound).
“Siasatan lanjut oleh Cawangan Persenjataan IPD Lahad Datu mengesahkan bom berkenaan buatan British.
“Objek berbahaya itu ditemui oleh seorang penduduk tempatan berumur 52 tahun ketika menjala ikan sebelum memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.
Dzulbaharin menasihati orang ramai agar tidak menghampiri kawasan tersebut sementara menunggu pemusnahan bom oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.





