
KANGAR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyalurkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM17,193,470 kepada negeri Perlis bagi menyokong pelbagai program pembangunan Islam di negeri ini.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, peruntukan tersebut disalurkan bagi memperkukuh pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan hal ehwal Islam di negeri berkenaan.
Menurut beliau, dana tersebut merangkumi sokongan kepada barisan penggerak institusi Islam termasuk pelaksanaan pelbagai program dakwah serta pembangunan masyarakat.
“Bagi tujuan tersebut, JAKIM telah menyalurkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM17,193,470 kepada negeri Perlis bagi menyokong usaha memperkasa pembangunan Islam di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Iftar Ramadan MADANI Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini.
Tambah beliau, peruntukan berkenaan diharap dapat membantu memperkukuh lagi pelaksanaan program keagamaan serta memberi manfaat kepada masyarakat Islam di negeri tersebut.
Menurutnya, usaha memperkasa pembangunan Islam memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, institusi agama serta masyarakat setempat.
Program berkenaan turut dihadiri Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.




