KUALA LUMPUR – Kerajaan mempergiat usaha membendung penularan ajaran sesat dan fahaman menyeleweng di platform digital menerusi kerjasama strategik antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, langkah itu diambil susulan peningkatan penyebaran kandungan berunsur penyelewengan akidah yang dikesan semakin aktif di media sosial.
“Ini selaras dengan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, khususnya terhadap kandungan yang difatwakan haram atau dikenal pasti membawa unsur penyelewengan akidah.
“Mekanisme ini membolehkan tindakan diambil secara pantas dan terselaras,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai langkah kerajaan dalam menangani penularan ajaran sesat dan meragukan yang semakin berleluasa di platform seperti TikTok dan YouTube.
Marhamah berkata, JAKIM turut bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dalam melaksanakan penelitian menyeluruh sebelum sesuatu ajaran atau doktrin diputuskan pandangan hukumnya oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).
Selain itu, katanya, usaha memperkasa kompetensi pegawai penguat kuasa agama dilaksanakan menerusi latihan berterusan supaya tindakan yang diambil lebih profesional, berlandaskan undang-undang serta berkesan.
“Selain itu, JAKIM memperkasa kefahaman, kemahiran dan kecekapan pegawai penguat kuasa agama melalui latihan berterusan supaya tindakan yang diambil lebih profesional, berlandaskan undang-undang dan berkesan.
“Kita juga memastikan tenaga pengajar agama memiliki tauliah mengajar yang dikeluarkan pihak berkuasa agama bagi menjamin keselamatan ilmu yang disampaikan kepada masyarakat, selain mempertingkat kesedaran masyarakat terhadap ancaman dan undang-undang berkaitan ajaran sesat dan unsur ekstremisme,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, JAKIM bersama agensi agama lain turut memperbanyak penghasilan kandungan dakwah digital yang sahih, berautoriti dan mudah diakses sebagai naratif alternatif bagi menangkis serta membetulkan fahaman yang menyimpang di ruang siber.
“Kerajaan mengambil serius dan mengambil pendekatan yang seimbang antara penguatkuasaan undang-undang, dan pendidikan masyarakat.
“Isu ajaran sesat bukan saja membabitkan pelanggaran keputusan undang-undang, malah berkait rapat dengan pemantapan akidah dan pemikiran umat Islam dalam mendepani cabaran era digital,” katanya.








