PUTRAJAYA — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah meminda Jadual Kedua Perintah Perihal Dagangan (Pensijilan dan Penandaan Halal) 2011 dengan menambah senarai badan pensijilan halal luar negara baharu yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pindaan itu sejajar dengan keputusan Jakim untuk mengiktiraf lima badan pensijilan halal asing tambahan tahun ini, terdiri daripada dua dari Rusia dan masing-masing satu dari Brazil, Mongolia dan Uruguay.
“Ini menjadikan jumlah badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim kepada 88 di 49 negara di seluruh dunia.
“Jadual Kedua Perintah Perihal Dagangan (Pensijilan dan Penandaan Halal) 2011 telah diwartakan pada 4 Oktober 2024, dan berkuat kuasa pada 5 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan statistik penguatkuasaan kes berkaitan halal, Armizan berkata, sebanyak 53 kes dilaporkan antara 1 Januari hingga 30 September tahun ini dengan barangan bernilai RM1.81 juta dirampas.
Antara kesalahan yang direkodkan ialah menggunakan logo halal palsu dan menggunakan sijil halal yang dikeluarkan oleh badan yang tidak dibenarkan.
Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa ketika ini terutama berkaitan isu halal kerana kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar.
“KPDN berharap agar semua pihak dapat mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa terutama berhubung isu halal ini.
“Kementerian akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pihak yang berkaitan,” katanya.
Katanya, pewartaan pindaan itu adalah untuk memperkasakan industri dan perundangan halal negara, di samping melindungi kepentingan pengguna Islam.






