
KUNAK – Pemuda UMNO Lahad Datu menyeru semua pihak tanpa mengira fahaman politik agar menjaga tutur kata serta memastikan setiap kenyataan yang dikeluarkan berlandaskan adab, hormat dan tanggungjawab moral sebagai pemimpin.
Seruan itu dibuat Ketuanya, Datuk Seri Dr Anil Sandhu yang kesal dengan kenyataan sinis dibuat oleh bekas Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim, berhubung isu hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan baru-baru ini.
Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman, Chang Khim seharusnya lebih matang dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terutama yang menyentuh perkara berkaitan agama Islam serta adat dan nilai masyarakat majoriti di negara ini.
“Saya ingin mengingatkan semua pihak, terutama mereka yang mempunyai kedudukan awam atau politik, agar tidak mengeluarkan kenyataan ikut sedap rasa tanpa memikirkan kesannya terhadap perpaduan nasional.
“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk menyentuh hal-hal yang boleh menyinggung perasaan umat Islam atau mana-mana penganut agama lain,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Anil yang juga Exco Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia berkata, sikap saling hormat dan kepekaan terhadap nilai agama perlu diutamakan.
“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan agama yang telah sekian lama hidup dalam suasana harmoni.
“Oleh itu, setiap pemimpin wajar menghormati sensitiviti agama lain khususnya Islam sebagai agama Persekutuan.
“Menyindir atau memperkecil pandangan yang mempertahankan nilai-nilai Islam bukan sahaja tidak wajar, malah boleh mengundang keresahan dan salah faham dalam masyarakat,” ujarnya.
Difahamkan, Chang Kim secara sinis mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan.
Dalam satu hantaran di media sosial, bekas wakil rakyat DAP itu memuat naik hantaran dengan kapsyen ‘Bisa (boleh) berlaku di Malaysia sahaja, yang minum tak mabuk, yang tak minum mabuk’.