
KUANTAN – Amalan tadarus dan tadabbur aL-Quran perlu dijadikan teras dalam membina sahsiah diri serta kepimpinan berintegriti dalam mendepani cabaran zaman moden.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari berkata, perkara itu antara ditekankan pada Majlis Khatam aL-Quran anjuran Masjid Tepian Putra yang berlangsung dengan penuh mahabbah di sini, hari ini.
Program itu berjaya menghimpunkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

Mencontohi keperibadian Sultan Pahang
Dalam pada itu, Ahmad Irshadi mengingatkan hadirin mengenai kepentingan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup (Manhaj Al-Hayah).
“Semangat ini selari dengan seruan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sentiasa menitahkan rakyat agar kembali kepada mukjizat agung itu.
“Keprihatinan Baginda terhadap Al-Quran terbukti melalui usaha peribadi Baginda menyalin surah-surah pilihan seperti Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Mulk dengan tulisan tangan sendiri.
“Tindakan simbolik ini membawa mesej jelas bahawa kekuatan sesebuah kepimpinan dan ummah mestilah berpaksikan kepada asas kitab suci Allah,” katanya.
Hadir sama Pengerusi Masjid Tepian Putra, Datuk Hamdan Hussin dan Kadi Daerah Kuantan, Syarifuddin Mohamad Sa’ad.
Tadarus menghidupkan lidah, tadabbur menghidupkan hati
Majlis itu juga menekankan amalan membaca al-Quran bukan sekadar untuk mengejar pahala berlipat kali ganda—iaitu sepuluh kebaikan bagi setiap satu huruf—malah ia menuntut penghayatan (tadabbur) mendalam.
“Tadarus menjadikan lidah kita hidup dengan al-Quran, namun tadabbur menjadikan hati kita hidup dengan al-Quran.
“Apabila al-Quran hidup dalam hati, maka lahirlah akhlak mulia, masyarakat beradab, dan pemimpin yang amanah,” jelasnya.



