JABATAN Peguam Negara (AGC) menafikan dakwaan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berhubung ketidaksahan pengampunan penuh yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, AGC menegaskan bahawa Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah diadakan pada 16 Mei 2018 di Istana Negara.
“Mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut telah dipengerusikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V dan turut dihadiri antaranya oleh Tun Dr. Mahathir sendiri selaku Perdana Menteri ketika itu,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut AGC, berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan, Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah berkenan pengampunan penuh kepada Anwar serta memerintahkan pembebasan beliau berkuat kuasa pada tarikh mesyuarat berkenaan.
“Bagi tujuan mesyuarat tersebut, Peguam Negara juga telah memberikan pendapat bertulis mengenai perkara itu selaras dengan Fasal (9), Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan,” katanya.
AGC turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius isu ini kerana melibatkan kepentingan perlembagaan dan institusi negara.
Justeru, sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat berhubung keputusan Lembaga Pengampunan dianggap tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan video yang dimuat naik oleh Mahathir menerusi platform TikTok baru-baru ini, yang mempertikaikan kesahihan proses pengampunan terhadap Anwar.
Dalam video berkenaan, beliau mendakwa telah menandatangani dokumen pengampunan tanpa nasihat daripada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang menurutnya sedang bercuti (garden leave).
Beliau turut mendakwa bahawa mesyuarat Lembaga Pengampunan tidak pernah diadakan.
Untuk rekod, Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah berkenan menganugerahkan pengampunan penuh kepada Anwar pada bulan Mei 2018.






