KEPUTUSAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar daripada UMNO tidak akan mengganggu atau menimbulkan ketegangan dalam parti.
Perkara itu ditegaskan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, majoriti akar umbi berpendapat tindakan Tengku Zafrul itu adalah wajar berikutan beliau tidak menunjukkan taat setia kepada parti selama ini.
“Saya tidak nampak sebarang tanda ‘suhu meningkat’ dalam UMNO. Lebih baik dia keluar jika tidak ada kesetiaan kepada parti.
“Jangan kacau dia kerana dia sedang menunaikan haji, semoga ketenangan menyelubungi fikirannya,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan pra-mesyuarat dengan delegasi Malaysia sempena lawatan kerja empat harinya ke United Kingdom, yang bermula semalam.
Jumaat lalu, Tengku Zafrul mengisytihar keluar daripada UMNO sekali gus melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.
Menyentuh mengenai rombakan Kabinet sekiranya kedudukan Tengku Zafrul sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri perlu diganti, Ahmad Zahid berkata, perbincangan mengenai perkara itu perlu diadakan secara dalaman dalam Kerajaan Perpaduan.
“Hak mutlak untuk melantik menteri terletak pada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), dan dalam perkara ini, adalah lebih baik kita mengadakan perbincangan dalaman bagi mengelak pelbagai tafsiran,” katanya.






