
PUTRAJAYA – Proses pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman ke tapak baharu yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi asal diluluskan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.
Beliau berkata, semua kelulusan berkaitan tapak baharu itu sudah diselesaikan, termasuk kelulusan pelan bangunan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada September lalu.
Katanya, tapak kuil itu juga diwartakan sebagai tapak rumah ibadat bukan Islam pada Disember lalu, manakala kebenaran membina bangunan di atas tanah berkenaan dikeluarkan Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Januari.
“Hari ini kita sahkan lokasi baharu sudah disediakan oleh kerajaan dan semua kelulusan sudah diberikan.
“Tapak baharu ini sangat hampir dengan lokasi asal, hanya dalam jarak berjalan kaki kira-kira 100 meter bagi memudahkan penganut untuk terus beribadat tanpa perlu berpindah jauh,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Menteri Wilayah Persekutuan bersama Ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur di Menara DBKL di sini, hari ini.
Hannah berkata, perbincangan awal antara kerajaan dan pengurusan kuil juga sudah berlangsung termasuk lawatan ke tapak baharu dan kini tumpuan diberikan kepada penyelarasan proses serta masa pemindahan kerana ia turut membabitkan upacara keagamaan.
“Kita faham ada keperluan untuk menyelaraskan perkara berkaitan ritual.
“Oleh itu, pertemuan secara berkala akan diteruskan selepas Thaipusam bagi memastikan proses pemindahan dilaksanakan dengan teratur dan harmoni,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif atas usaha pantas menyelaraskan penyediaan tapak baharu.
“Kita berharap semua pihak termasuk pengurusan kuil dan pemaju dapat memberikan kerjasama yang munasabah supaya isu ini diselesaikan secara harmoni,” katanya.






