KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah bahawa kerajaan negeri sudah mengambil jalan penyelesaian terbaik terhadap isu 32 peniaga di Cameron Highlands dan ia perlu dipatuhi serta dihormati.
Baginda bertitah bahawa penjelasan telah diberikan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) mengenai status isu ini.
“Saya bukan nak menyalahkan atau menunding jari kepada mana-mana pihak, perkara ini sudah diselesai ikut peraturan.
“Saya sudah mendengar dari segi prosesnya, pemilihannya. Kerajaan negeri cari jalan terbaik untuk semua pihak termasuklah mereka yang tidak dapat peluang ini.
“Kita cari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini contohnya cari tempat lain untuk peniaga, ini (lokasi sesuai) akan dikaji secara teliti oleh Kerajaan Negeri,” titah baginda dalam satu hantaran di Facebook Kesultanan Pahang.
Dalam pada itu, baginda dengan tegas mengingatkan agar tiada lagi pihak cuba menangguk di air keruh sekaligus memburukkan keadaan.
“Saya dengar sendiri, saya persoalkan sendiri, saya dah bertelagah sesama sendiri untuk selesaikan demi penyelesaian terbaik semua pihak.
“Memanglah kita tidak boleh nak senangkan semua pihak, yang nak bising itu hak dia tapi janganlah berlebih-lebihan.
“Ikutlah proses (syarat dan perundangan) yang ditentukan. Kita semua ini manusia juga ye, ada feelings (hati dan perasaan).
“Tak guna kita nak melaung-laung (tiada adab) di luar sana, selesai secara elok,” titah baginda.



