PUTRAJAYA – Tiada pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ditempatkan di jabatan kerajaan dan kementerian sehingga mengganggu penggubalan dasar.
Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menyifatkan dakwaan kumpulan antara agama bukan Islam, Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) sebagai tidak berasas.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kenyataan kumpulan itu menyebabkan tercetusnya salah faham.
Tegasnya, tiada penempatan baharu membabitkan pegawai Jakim di mana-mana jabatan atau kementerian setakat ini, sebaliknya pegawai agensi yang ada di sejumlah kementerian adalah mereka yang ditempatkan sejak dahulu.
“Ini sebenarnya adalah dasar yang dibuat pada 2006, 2007, malah ada dalam kalangan ahli Jemaah Menteri yang menjadi sebahagian dalam Kabinet ketika itu.
“Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) sebagai contoh, beliau ada dalam Kabinet ketika itu dan mengingatkan Jemaah Menteri, waktu itu, itulah dasar yang diumumkan ketika itu.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar juga memberi peringatan bahawa sehingga ke hari ini, tidak ada mana-mana kementerian yang mendapat penempatan pegawai Jakim baharu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Fahmi menambah, pegawai Jakim yang ditempatkan di jabatan kerajaan atau kementerian hanya membantu dari segi integriti dan pengisian kerohanian.
“Maka untuk mengeluarkan tuduhan bahawa pegawai Jakim ada terbabit dalam isu dasar dalam kementerian mereka ditempatkan, itu terlalu jauh dari sasaran dan matlamat asal penempatan mereka.
“Mereka ditempatkan untuk membantu sama ada dari segi integriti atau pengisian kerohanian dalam kementerian berkaitan, bukan memberi pandangan berkaitan soal dasar.
“Jadi tuduhan oleh pihak ini, tidak patut mereka lontarkan kerana ia tidak berasas,” katanya.
Pada masa sama, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengadakan pertemuan dengan pihak MCCBCHST dalam tempoh terdekat.
Pertemuan untuk adalah untuk mendengar pandangan mereka serta menyatakan pendirian kerajaan.
“Sebaik mungkin isu seperti ini diurus dengan baik tanpa salah faham terutama apabila penjelasan sudah dibuat tiga minggu lalu oleh Jakim ketika isu ini dibangkitkan oleh seorang aktivis dan peguam ketika itu,” katanya.




