
KOTA KINABALU – Orang ramai perlu mengekalkan semangat kebersamaan dalam menyambut Hari Kebangsaan, meskipun berdepan isu panas termasuk slogan ‘No Justice, No Merdeka’ yang kini menjadi perhatian rakyat Malaysia.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Darau, Datuk Mohamed Razali Razi menegaskan bahawa sambutan Hari Kebangsaan perlu dijadikan wadah penyatuan rakyat.
“Ya, kita faham ada isu-isu yang sedang berlegar-legar, isu-isu yang panas. Tapi dalam masa yang sama juga kita kena fokus kepada benda yang lebih besar juga.
“Kita faham isu ini juga isu yang besar, tetapi kita kena juga lihat kepada objektif kebersamaan.
“Kita jangan lupa pasal Hari Kebangsaan ini adalah hari yang penting untuk negara kita,” katanya dalam sidang media selepas Program Pengagihan Jalur Gemilang di pekan Manggatal, di sini pada Selasa.

Jelasnya, orang ramai tidak seharusnya alih fokus sehingga lupa kepada tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Mengulas mengenai kontroversi pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Semenanjung, beliau berkata, Sabah menampilkan suasana berbeza kerana negeri ini mengamalkan keharmonian dalam kepelbagaian.
“Di Sabah kita hormati kepelbagaian dan bila ada hormat itu barulah perpaduan tercapai.
“Orang Sabah adalah cerminan Malaysia sebenar kerana walaupun kita berbilang kaum, bangsa dan agama kita tetap hidup dalam suasana harmoni,” jelasnya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa keharmonian adalah penting agar kemerdekaan tidak dicemari dengan perselisihan yang boleh memecahbelahkan rakyat.





