
KOTA KINABALU – Isu gred hakiki Guru Besar yang sekian lama berlarutan kini berada dalam perhatian serius Kementerian Pendidikan dan sedang ditangani secara berperingkat, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam anjuran Kerajaan Negeri Sabah bersama Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) yang meraikan lebih 2,000 Guru Besar dari seluruh negara, di sini pada Rabu.
“Saya kongsikan kepada semua isu-isu berbangkit termasuk yang berkait dengan gred hakiki Guru Besar, sememangnya dalam perhatian kementerian.
“Ia sedang ditangani dengan sebaik-baiknya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.
Fadhlina turut menekankan kepentingan reformasi pendidikan yang sedang berlangsung, dan peranan penting Guru Besar dalam menjayakan agenda tersebut di peringkat sekolah masing-masing.

Tambah beliau, Guru Besar perlu memastikan agenda reformasi ini dapat direalisasikan demi manfaat murid, guru, warga sekolah dan seluruh masyarakat.
“Peranan PGBM dalam sistem pendidikan negara mesti terus diperkasakan.
“Ini termasuk membantu meningkatkan profesionalisme dan kepimpinan Guru Besar,” kata beliau.
Menurutnya, kementerian akan meneliti semua perkara yang dibangkitkan oleh PGBM bagi mencari penyelesaian terbaik untuk semua pihak.
“Melihat kepada komitmen PGBM, saya berhasrat untuk terus mendukung semua program dan aktiviti persatuan termasuk menyalurkan sumbangan kewangan bagi tujuan pelaksanaan aktiviti.
“Saya jemput barisan pimpinan PGBM hadir ke pejabat untuk perbincangan lanjut.
“Insya-Allah kita akan anjurkan dalam waktu terdekat,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan penganjuran majlis tersebut.





