
TEHRAN – Iran sedang bersiap sedia untuk membalas serangan kejam Israel pada 26 Oktober lalu, kata Ali Larijani, penasihat kanan kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei pada Ahad, lapor Anadolu.
Menurut Ali Larijani, negaranya (Iran) sedang bersiap sedia mengambil langkah-langkah untuk memberikan ‘tindak balas yang sesuai terhadap serangan Israel baru-baru ini.
Pada 26 Oktober, jet pejuang Israel telah melancarkan serangan ke atas Iran selepas Tehran melancarkan peluru berpandu balistik ke Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah di Beirut dan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di Tehran.
Sejak itu, Israel telah meningkatkan tahap amaran dan mengerahkan sistem pertahanan udara THAAD buatan Amerika sebagai persediaan untuk menghadapi tindak balas dari Iran.
“Pegawai tentera yang terlibar dan kerajaan Iran sedang menyediakan langkah-langkah untuk memberikan tindak balas yang sesuai terhadap pencerobohan Israel baru-baru ini terhadap Iran.
“Kekuatan pertahanan adalah tunjang utama. Pihak berkuasa berkaitan sedang meneliti perkara ini dengan teliti untuk memastikan tindak balas Iran terhadap Israel memenuhi spesifikasi ini,” tambahnya.
Penasihat kanan itu menekankan bahawa ini adalah isu yang perlu diserahkan kepada pegawai tentera berkaitan untuk membuat keputusan yang tepat.
“Saya tahu mereka sedang mempertimbangkan pelbagai cara untuk mencapai keputusan tersebut,” katanya.
Larijani turut menegaskan bahawa isu ini memerlukan pertimbangan yang teliti dan kerahsiaan kerana ia berkaitan dengan keselamatan negara Iran.