
KUNAK – Insiden seorang warga emas yang menampar seorang pemuda bukan Islam di sebuah kedai serbaneka di Johor Bahru adalah sikap individu dan tiada kena-mengena dengan isu kaum, agama dan raja (3R).
Demikian pandangan Exco Pemuda BN Malaysia, Datuk Seri Dr Anil Sandhu menyeru agar masyarakat perlu berfikiran terbuka dan tidak membesarkan isu ini secara melampau.
“Sebagai seorang mualaf, saya pernah berada di posisi seorang bukan Islam dan memahami sensitiviti yang wujud dalam isu-isu tertentu.
“Saya ingin menegaskan bahawa kejadian ini adalah kes terpencil yang tidak mewakili seluruh umat Islam di negara ini, begitu juga pemuda tersebut tidak mewakili semua bukan Islam,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Jelas Anil, Islam melalui ajaran Nabi Muhammad SAW yang berlandaskan al-Quran dan sunnah, tidak pernah mengajar umatnya untuk bertindak kasar sebaliknya Islam mengutamakan kasih sayang, toleransi dan sikap saling menghormati.
“Saya juga menyeru agar semua pihak berhenti daripada membuat kenyataan tidak perlu di media sosial yang hanya akan mengeruhkan keadaan dan melukakan hati sesama kita.
“Marilah kita mengamalkan sikap berlapang dada, memahami antara satu sama lain, dan terus memelihara keharmonian dalam masyarakat,” ujarnya.




