
KOTA KINABALU – Arwah Zara Qairina Mahathir dituduh mencuri wang sehari sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu.
Pengawal keselamatan sekolah, Linah Mansoding@Jaliha, 65, memberitahu Mahkamah Koroner pada Jumaat kira-kira pukul 8 malam pada 15 Julai, seorang pelajar perempuan mengadu kehilangan wang tunai RM300 bersama kad banknya.
Katanya, tuduhan Zara mencuri wang itu turut dimaklumkan kepada pelajar senior lain yang berperanan sebagai penjaga asrama.
Linah berkata, berita itu turut sampai ke pengetahuan warden yang kemudiannya memanggil ketua pelajar di asrama itu untuk memastikan apa yang berlaku namun tiada tindakan susulan dibuat.
“Selepas aduan itu, pelajar senior memanggil Zara untuk berjumpa, namun saya tidak pasti apa yang berlaku selepas itu,” katanya ketika prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Pada masa sama, peguam Shahlan Jufri membuat pertanyaan adakah saksi keenam itu tahu istilah ‘MA’ yang digunakan di asrama itu.
Jelas saksi keenam itu, maksud istilah ‘MA’’ merujuk kepada perjumpaan antara pelajar senior dan junior di asrama yang kononnya bertujuan memberi teguran, namun diharamkan sejak 2017 kerana sering disalahgunakan untuk menekan junior.
”Dorang (pelajar) kira senior kerana itu dorang bertindak sesuka hati memanggil adik-adik mereka.
”Kalau ikutkan betul, kena lapor cikgu. Biar cikgu yang akan nasihat bukan senior yang panggil,” katanya.
Katanya, ‘MA’ hanya dijalankan secara senyap oleh pelajar senior tanpa pengetahuan guru atau warden, biasanya berlaku apabila timbul isu seperti tidak menghormati senior atau tuduhan melakukan kesalahan.
Linah turut berkata, sepanjang berada di asrama ini, dia hanya mengetahui tiga sesi ‘MA’ pernah berlaku, termasuk semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Sepatutnya sebarang masalah dilaporkan kepada guru, tetapi dalam kes ini, pelajar senior bertindak sendiri memanggil junior mereka.
“Itu sebabnya ‘MA’ dilarang,” katanya.