
KOTA KINABALU – “Saya panggil Zara… Zara…dan pegang pipi dia tapi tiada respons,” kata pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Linah Mansoding@Jaliha, 65, semasa menemukan arwah terlentang di asrama tersebut.
“Dia macam tidur dengan ‘berdengkur’ (menunjukkan cara bunyi nafas Zara) dia dalam keadaan terlentang, kasihan dia,” katanya kepada mahkamah semasa prosiding inkues Zara pada Jumaat.
Katanya, Zara kemudiannya dialihkan dari lokasi kejadian ke bahagian hadapan asrama, berdekatan hadapan rumah warden, sementara menunggu ketibaan ambulans.
Katanya lagi, badan Zara dialihkan oleh ketua warden, Ustaz Azhari dan tiga pelajar senior.
Dia memberitahu bahawa mangsa yang ditemukan dalam keadaan terlentang di longkang tidak memakai kasut atau tudung.
Linah berkata, dia turut melihat kecederaan Zara berdarah banyak di kaki kiri dan tulang terkeluar termasuk pendarahan di bahagian tengkuk.