
KOTA KINABALU – Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan mempersoalkan tindakan seorang Guru Tingkatan 6 merangkap Warden Asrama, Yuslina Badrum yang mengimbas (scan) serta mengongsikan salinan diari milik pelajar, Zara Qairina Mahathir, kepada beberapa guru lain walaupun dokumen itu bersifat peribadi dan bukan di bawah bidang kuasa mereka.
Menurut kenyataan bersama pasukan guaman Ibu Zara, Yuslina yang merupakan saksi ke-49 berkata, dia telah berkongsi diari-diari tersebut dengan beberapa orang guru melalui WhatsApp.
Katanya, saksi bersetuju bahawa cikgu-cikgu yang menerima perkongsian diari-diari yang telah diimbas melalui WhatsApp bukanlah pihak berautoriti.
“Hakim Koroner bertanya adakah saksi pernah terfikir tentang perasaan Zara apabila diari-diari yang telah diimbas tersebut dikongsi kepada beberapa orang cikgu? Saksi mengatakan dia tidak terfikir perkara tersebut dan tidak pernah ada niat untuk membuka aib Zara.
“Hakim selanjutnya bertanya apa perasaan saksi sekiranya barang peribadi seperti diari saksi dikongsikan kepada orang lain?
“Jawapan saksi ialah saksi tidak suka perkara itu dikongsikan,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.
Kenyataan bersama itu oleh Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Katanya lagi, saksi berkata, dia tidak ada niat untuk membuka aib Zara dalam berkongsi imbasan dengan pihak sekolah.
“Saksi berkata tindakannya hanya berniat cuma membantu siasatan kepada insiden Zara tetapi saksi bersetuju sebenarnya ianya bukan tugas pihak sekolah untuk berbuat demikian, pihak berkuasa hanya perlu tahu kewujudan buku dokumen tersebut untuk siasatan mereka.
“Saksi bersetuju ianya juga bukan tugas pihak sekolah untuk mengetahui dan memahami isi kandungan buku-buku tersebut kerana ianya semua bersifat peribadi kepada Zara,” katanya.
Tambahnya, saksi berkata, salinan imbasan diari-diari tersebut telah dikongsikan olehnya kepada seorang cikgu melalui WhatsApp untuk dikongsikan kepada Ibu Zara.
“Namun, tidak pasti sama ada imbasan tersebut telah dikongsikan kepada ibu Zara.
“Saksi juga ada menunjukkan salinan diari tersebut kepada seorang pelajar untuk menenangkan perasaan pelajar,” ujarnya,




