
KABONG – Sebanyak sembilan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (Rural Transformation Project, RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong diserahkan tapaknya pada Isnin menandakan pelaksanaan rasmi peningkatan infrastruktur kampung dan kemudahan komuniti di daerah ini.
Majlis serah tapak tersebut diadakan bagi memastikan kesemua projek dapat dimulakan mengikut jadual serta memenuhi keperluan penduduk setempat.
Antara projek berkenaan ialah menaik taraf Laluan Belian Malik Bin Pawi di Kampung Hulu Laut bernilai RM100,000; menaik taraf empat laluan belian ke laluan konkrit di Kampung Hilir Tengah (RM60,000); serta pembinaan pondok rondaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Kabong, Sessang, Gerigat, Nyabor, Emplam dan Alit, dengan kos RM45,000 setiap satu.
Selain itu, pemasangan lampu solar di Gelanggang Futsal Sungai Pasir turut dilaksanakan dengan peruntukan RM50,000.
Majlis berkenaan turut disertai Pegawai Khas ADUN Kabong, Nur Elffi Amir; wakil Pejabat Daerah Kabong, Ahmad Sabree Salleh; Penghulu Kamaluddin Rambli; Penghulu Rahman @ Dom Kapok; wakil Majlis Daerah Saratok (MDS), Suriati David Thomas; serta kontraktor-kontraktor yang dilantik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir menegaskan bahawa projek RTP ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemudahan asas, malah membantu memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan masyarakat melalui pembangunan fizikal di peringkat kampung.
Beliau berharap kesemua projek dapat disempurnakan mengikut spesifikasi teknikal dan memberi manfaat terus kepada penduduk Kabong.
Foto: Facebook Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong




