
KOTA KINABALU – Seramai 104 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan menerusi operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di beberapa daerah seluruh negeri ini, pada Selasa dan Rabu lepas.
Daripada jumlah itu, 64 individu ditahan di Tawau manakala 40 lagi di Tenom, Sipitang serta Kudat yang merupakan warga Filipina dan Indonesia.
Imigresen Sabah menerusi satu kenyataan memaklumkan, kesemua PATI berjaya ditahan daripada aduan awam serta risikan kira-kira satu minggu di beberapa tempat berasingan.
“Mereka yang ditangkap dan ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.
“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” kata kenyataan itu, pada Khamis.

Sehubungan itu, Imigresen Sabah menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI serta tidak kompromi terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan kejadiran warga asing tanpa izin di kawasan mereka.





