
IGAN – Penduduk Igan bakal menikmati kemudahan gaya hidup yang lebih berkualiti apabila sebuah Kompleks Sukan Komuniti dan Rekreasi akan dibangunkan di kawasan tersebut tidak lama lagi.
Projek ini dilihat sebagai satu inisiatif strategik bagi menaik taraf kemudahan sukan serta memenuhi keperluan aktiviti sosial dan riadah penduduk setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, pembangunan kompleks ini melengkapkan lagi prasarana komuniti sedia ada, seiring dengan fungsi dewan masyarakat yang kini menjadi nadi kegiatan penduduk kampung.
Menurutnya, fasa pertama projek akan bermula dalam masa terdekat melibatkan kerja penembokan kawasan sebaik sahaja tapak diserahkan secara rasmi kepada kontraktor.
“Kita mahu memastikan prasarana ini dapat memberi manfaat maksimum kepada rakyat. Kerja awal akan dimulakan segera sebagai langkah persediaan tapak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek Kompleks Sukan Komuniti dan Rekreasi Igan kepada pihak kontraktor di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai tempoh pelaksanaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu memaklumkan bahawa kompleks berkenaan dijadualkan siap sepenuhnya pada September depan.
Bagaimanapun, beliau optimis dan menggalakkan pihak kontraktor untuk menyiapkan projek lebih awal dengan sokongan serta penyelarasan pantas daripada agensi berkaitan.
Dalam pada itu, Juanda turut menyeru Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta komuniti setempat untuk memberikan kerjasama padu bagi memastikan kelancaran projek.
Tegasnya, perancangan rapi dan pemantauan teliti amat penting, khususnya bagi projek berskala besar di kawasan itu demi mengelakkan sebarang kelewatan, sekali gus membolehkan rakyat menikmati hasil pembangunan mengikut jadual yang ditetapkan.




