KETUA Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop, menyifatkan gagasan Malaysia MADANI yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini sebenarnya telah mula dirintis sejak era 1970-an.
Menurut Ismail, pelbagai dasar dan pendekatan yang diperkenalkan oleh Anwar semasa awal penglibatannya dalam arena politik adalah manifestasi awal kepada gagasan Islam sebagai satu cara hidup, yang kini dikenali dengan kerangka MADANI.
“Antara perkara terawal yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah penerapan nilai-nilai Islam dalam pendidikan, ekonomi dan pembinaan jati diri nasional. Ketika itu, buat pertama kalinya lahir Falsafah Pendidikan Negara,” katanya dalam program podcast Minda Tok Abah pada Jumaat.
Mengulas lanjut menyatakan bahawa penubuhan institusi seperti Bank Islam dan Biro Tata Negara (BTN) juga adalah sebahagian daripada usaha membina satu pemikiran kebangsaan yang holistik, mencerminkan idea pembinaan sebuah negara bangsa – atau “the dream nation.”
Ismail menyifatkan kerangka MADANI sebagai sebuah “kerja yang tertangguh hampir empat dekad” bagi generasi reformasi, yang kini direalisasikan setelah sekian lama diperjuangkan.
Pada ketika itu juga Malaysia dikenali sebagai antara “The Four Tigers” dan dilihat berpotensi besar dalam geopolitik serantau.
“Ada yang kata ini kerja yang tertangguh selama 26 tahun sejak pemecatan Anwar pada tahun 1998, tetapi saya melihat lebih awal lagi – sejak era beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum krisis ekonomi Asia,” katanya.








