
KUCHING – Teknologi satelit mikro atau lebih dikenali sebagai CubeSat kini menjadi antara pendekatan pendidikan berimpak tinggi dalam melahirkan bakat angkasa lepas apabila institusi pengajian tinggi memanfaatkannya sebagai platform pembelajaran dan penyelidikan secara praktikal.
Felo Penyelidik Utama dan Pensyarah i-CATS University College, Ir. Hj. Norhizam berkata, program CubeSat memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar terhadap kerja sebenar dalam bidang kejuruteraan angkasa. Penglibatan secara langsung dalam projek berkenaan membolehkan pelajar memahami keseluruhan kitaran pembangunan satelit daripada peringkat reka bentuk sehingga kepada operasi sebenar.
“Projek CubeSat membolehkan pelajar mengalami keseluruhan kitaran pembangunan satelit, bermula daripada reka bentuk konsep sehingga kepada pelaksanaan operasi. Pendedahan secara langsung ini meningkatkan kecekapan teknikal, disiplin profesional dan tahap kesediaan industri,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

CubeSat merupakan satelit bersaiz kecil yang dibangunkan mengikut modul piawai bermula dengan ukuran 10 × 10 × 10 sentimeter bagi setiap unit. Struktur yang kompak, kos pembangunan yang lebih rendah serta tempoh pengeluaran yang singkat menjadikan teknologi ini lebih mudah diakses berbanding satelit konvensional.
Pada peringkat awal, CubeSat diperkenalkan sebagai alat pendidikan sebelum berkembang penggunaannya dalam pelbagai sektor termasuk pemantauan alam sekitar, perhutanan, telekomunikasi, pengurusan bencana, perancangan pertanian dan pengujian teknologi canggih, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada universiti serta inovator muda untuk menyertai ekosistem angkasa global.
Selaras dengan pengukuhan kerjasama industri, kolaborasi antarabangsa serta pelaksanaan penyelidikan gunaan, i-CATS University College terus memperluas inisiatif pembangunan aplikasi dan penyelesaian teknologi berasaskan sains data dan kecerdasan buatan (AI). Usaha ini sekali gus memperkukuh peranan CubeSat sebagai instrumen strategik dalam pembangunan modal insan dan ekosistem aeroangkasa Sarawak pada masa hadapan.






