VICTORIA – Bukan kerana rokok, bukan kerana cuaca panas, tetapi seekor ikan yang jatuh dari langit dipercayai menjadi punca kebakaran hutan dan gangguan bekalan elektrik di Ashcroft, British Columbia, Kanada.
Dalam kejadian luar biasa itu, siasatan pihak bomba mendapati punca kebakaran yang merebak seluas kira-kira 4,000 meter persegi itu dipercayai berpunca daripada seekor helang yang ‘tercicir’ mangsa buruannya – seekor ikan – ke atas kabel elektrik.
Ikan yang terhempas ke atas talian voltan tinggi itu menyebabkan percikan api sebelum jatuh ke kawasan rumput kering lalu mencetuskan kebakaran.
“Pihak berkuasa percaya kejadian itu berlaku apabila seekor helang menjatuhkan ikan yang dibawanya dari sungai kira-kira 3.2 kilometer dari lokasi kebakaran,” kata jurucakap jabatan bomba tempatan.

Kesan daripada insiden luar jangka itu, lebih 1,500 penduduk di kawasan sekitar Ashcroft yang terletak kira-kira 338 kilometer timur laut Vancouver mengalami gangguan bekalan elektrik buat seketika.
Kebakaran itu berjaya dikawal dengan pantas oleh pasukan bomba bersama bantuan pemilik ladang dan pekerja Agensi Tenaga Hidro dan Elektrik British Columbia.
Menurut laporan media tempatan, pada awalnya bomba menyangka kebakaran disebabkan kecuaian manusia, namun teori ‘ikan dari langit’ menjadi penjelasan paling munasabah selepas tiada bukti lain ditemui di lokasi kejadian.
Lucunya, dalam kenyataan rasmi, jurucakap bomba berseloroh bahawa pelaku sebenar tidak alami sebarang kecederaan dan masih terbang bebas tanpa diketahui kedudukannya.








