IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia: Turun Anwar’ yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini sebagai satu gerakan tidak berfokus, tiada hala tuju dan hanya mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan semasa.
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, meskipun Malaysia mengamalkan demokrasi dan menjunjung hak setiap warganegara, rakyat hari ini cukup bijak menilai sama ada sesuatu isu benar-benar menyentuh kepentingan mereka atau sekadar berlegar kepada sentimen sempit.
“Sebagai sebuah negara demokrasi, kita hormat hak untuk berhimpun secara aman. Namun, saya percaya rakyat kini matang dalam menilai sama ada isu yang dibangkitkan menyentuh permasalahan sebenar atau sekadar retorik berasaskan kebencian kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah MADANI Parlimen Tambun yang diadakan di pekarangan Masjid Jamek Al-Amin, malam Ahad.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.
Majlis anjuran bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan peruntukan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Balai Polis Tanjung Rambutan, 34 buah sekolah serta pembangunan di kawasan Parlimen Tambun.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan menegaskan bahawa kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri kekal kukuh, malah negara berada di landasan yang tepat terutama dalam memacu hubungan serantau sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Negara tidak akan ke hadapan jika rakyat terus dipengaruhi agenda politik sempit yang dibawa oleh pihak pembangkang,” ujarnya.
Terdahulu, Pas dilaporkan menyasarkan kehadiran lebih 50,000 peserta dalam perhimpunan yang dijadualkan di ibu negara itu, kononnya sebagai manifestasi kekecewaan rakyat terhadap kepimpinan Anwar.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Kamil mengakui kerajaan perlu mempertingkatkan komunikasi dan penerangan kepada rakyat terutama melibatkan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan subsidi bersasar bagi bahan api.
“Walaupun keputusan ini bukanlah langkah popular, namun ia perlu diambil demi kelangsungan dan keupayaan ekonomi negara pada masa hadapan.
“Semua Perdana Menteri sebelum ini juga bersetuju bahawa subsidi perlu disasarkan, tetapi tidak melaksanakannya kerana kekurangan keberanian politik dan ketiadaan kestabilan,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, apabila Perdana Menteri kini mengambil langkah berani tersebut, pihak pembangkang pula memilih untuk mengkritik.
“Jadi, ini bukan soal prinsip, tetapi lebih kepada perasaan marah kerana Perdana Menteri sekarang berani memulakan langkah yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini,” tegasnya.






