KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan pemimpin agar berhenti menjadi ‘badut’ mempolemikkan isu raja, agama dan kaum (3R).
Baginda juga menyambut baik kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini yang menekankan bahawa pemimpin bertanggungjawab menjadi pendamai, bukan pencetus perbalahan.
“Biarkan ‘pentas’ ini terus tenang, tanpa ‘drama’ yang menyakitkan. ‘Berdialoglah’ guna akal dan hati, bukannya ‘bermonolog’ guna nista dan benci,” titah baginda seperti dilaporkan Pahang Media.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Durian Hijau, Masjid Rahman Ibn Auf, Jerantut, petang semalam.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah, sejarah l membuktikan pertelingkahan kaum dan agama jika tidak dibendung dengan bijaksana mampu membawa malapetaka.
“Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang hanya kerana kealpaan dalam mengurus isu sensitif ini dengan hikmah dan kebijaksanaan.
“Saya menyeru kepada semua pemimpin, khususnya pemimpin-pemimpin politik, agar bertindak sebagai jambatan perpaduan menyatukan rakyat, bukannya mencetus api yang membakar hubungan harmoni yang lama terbina,” titahnya lagi.




