MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengajak seluruh rakyat menghayati semangat dan pengertian Syawal bagi menyemarakan lagi nilai keharmonian dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Beliau berkata, sambutan Aidilfitri wajar dijadikan ruang serta peluang mengeratkan silaturahim dan melupakan persengketaan.
“Aidilfitri adalah ruang terbaik untuk kita mengeratkan silaturahim dan mengetepikan perbezaan, saling bermaafan, mengharmonikan suasana, dan bersama membina sebuah negara MADANI yang memiliki sifat serta semangat ihsan terhadap seluruh rakyat.
“Harapan saya, kita semua dapat mengambil ibrah dan pengajaran dari tarbiah Ramadan yang baru saja berlalu, dan berusaha sedaya upaya untuk terus memperkukuh perpaduan rakyat,” katanya kepada media rasmi pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri-menteri Kabinet.
Majlis turut dihadiri lebih 300 tetamu antaranya Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai serta perwakilan asing.
Sementara itu Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy berkata, Malaysia yang kaya dengan pelbagai perayaan masyarakat majmuk menjadikan negara ini begitu unik.
Beliau berkata melalui sambutan perayaan seperti Aidilfitri masyarakat belajar untuk saling menghormati kepercayaan dan amalan agama masing-masing.
“Raya bukan sahaja disambut oleh orang Islam, tetapi turut diraikan oleh semua rakyat, ramai mengambil peluang untuk saling berkunjung ke rumah kawan-kawan, termasuk saya yang hadir ke istana bagi menyambut Hari Raya.
“Perayaan seperti ini menjadi platform penting untuk kita memperkukuhkan semangat perpaduan dan keharmonian, di samping memberi peluang kepada kita untuk mempelajari budaya serta cara hidup etnik dan agama lain,” katanya.






