HARRY Kane meledak hatrik kesembilan bersama Bayern Munich dan membantu gergasi Bavaria itu mengekalkan rekod sempurna Bundesliga dengan kemenangan 4-1 ke atas Hoffenheim di gelanggang lawan.
Pengendali Bayern, Vincent Kompany melakukan lima pertukaran daripada kesebelasan utama yang menewaskan Chelsea dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara, termasuk memberikan peluang pertama kepada pemain sayap berusia 17 tahun, Lennart Karl, yang tidak mensia-siakan peluang dengan melakukan hantaran sudut untuk gol pembukaan Kane.
Penyerang England itu menambah jaringan sejurus babak kedua bermula menerusi sepakan penalti selepas insiden bola terkena tangan pemain Hoffenheim, sebelum melengkapkan hatrik dengan satu lagi penalti selepas Michael Olise dijatuhkan.
Tuan rumah mendapat gol sagu hati pada minit ke-82 menerusi sepakan percuma Vladimir Coufal yang terkena pemain lawan sebelum menerjah gawang.
Serge Gnabry memastikan kemenangan Bayern apabila menyudahkan gol keempat pada minit ke-99.
Kemenangan itu menyaksikan Bayern kekal di persada liga dengan rekod sempurna selepas lima perlawanan, sekali gus menghantar amaran awal bahawa mereka tetap pasukan yang sukar digugat musim ini.





