
SANDAKAN – Orang ramai perlu berhati-hati agar tidak terpedaya dengan pautan palsu yang tular berkaitan permohonan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Pembantu Menteri I Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah, Datuk Isnin Aliasnih berkata orang ramai boleh merujuk terus kepada pihak berkuasa tempatan dan kementeriannya.
“Saya ingin menasihatkan rakyat agar hanya memohon rumah PPR melalui saluran rasmi sama ada terus kepada pejabat majlis daerah, majlis perbandaran ataupun ke kementerian sendiri.
“Bukan semua daerah mempunyai PPR, jadi adalah penting untuk rujuk kepada kami terlebih dahulu,” kata beliau.
Beliau turut mengingatkan agar orang ramai tidak menyebarkan pautan-pautan palsu dan menasihatkan agar semua permohonan dibuat secara rasmi bagi mengelakkan penipuan.
“Insya-Allah, pihak kami akan bantu dan maklumkan lokasi PPR baharu yang dibuka atau PPR sedia ada yang masih mempunyai unit kosong,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli MDBLN bagi sesi 2025–2027 di sini, pada Khamis.
Terdahulu, seramai 18 orang telah menerima watikah pelantikan sebagai Ahli MDBLN bagi sesi 2025–2027.

Isnin mahu Ahli-ahli Majlis Daerah Beluran (MDBLN) untuk melaksanakan tugas dengan penuh komitmen dan tanggungjawab bagi membantu memajukan daerah itu secara menyeluruh.
Jelasnya, pelantikan ahli majlis bukan sekadar simbolik sebaliknya merupakan amanah besar untuk memastikan pembangunan daerah berjalan lancar.
“Kita mengharapkan ahli-ahli majlis yang dipilih dapat melaksanakan tugas dengan baik serta membantu pegawai eksekutif dan seluruh kakitangan MDBLN dalam membangunkan daerah kita. Sebab kalau bukan kita, siapa lagi?,” katanya.
Beliau berkata sejak mengambil alih kerajaan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), prestasi kewangan dan pembangunan di Beluran menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan.
“Alhamdulillah, kutipan pendapatan Beluran sehingga hari ini meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya, melebihi RM1.2 juta.
“Ini membuktikan kecekapan pentadbiran kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri,” katanya lagi.
Beliau juga menekankan bahawa peningkatan prestasi bukan hanya berlaku di Beluran tetapi turut melibatkan majlis daerah lain di seluruh Sabah, iaitu ada antara mereka yang kini mencatat pendapatan mencecah sehingga RM25 juta berbanding hanya RM2 hingga RM3 juta sebelum ini.
Hadir sama Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri.








