
KUALA LUMPUR – Impian pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian selepas dia terkandas di separuh akhir, petang tadi.
Pemain nombor tujuh dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn apabila tewas 14-21, 11-21 pada aksi di Porte de la Chapelle Arena.
Selepas menyingkirkan pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yu Qi, semalam, Kunlavut jelas berkeyakinan tinggi turun dalam perlawanan bagi merebut tiket ke pentas final itu.
Permulaan set pertama Zii Jia memberikan tentangan sengit tetapi selepas itu dia dilihat hilang fokus hingga membolehkan Kunlavut memanfaatkan peluang untuk menjarakkan kedudukan, sekali gus memenangi perlawanan dengan masa 26 minit.
Zii Jia yang cuba bangkit di set kedua bagaimanapun gagal untuk menemui jawapan terhadap aksi konsisten ditampilkan Kunlavut yang menoktahkan kemenangan 21-15 sekali gus menyalakan peluangnya untuk memenangi emas pertama di Olimpik.
Kunlavut akan menentang pemenang perlawanan antara jaguh Denmark, Viktor Axelsen dengan pemain India, Lakshya Sen dalam satu lagi aksi separuh akhir, esok.