YAN – Syawal tahun ini sangat bermakna bagi empat keluarga nelayan di Tanjung Dawai apabila menerima geran tanah selepas lebih empat dekad menunggu.
Jamaliah Ahmad, 63, berkata, Aidilfitri kali ini cukup bermakna kerana dia akhirnya menerima geran tanah selepas berjuang sendirian membayar wang bulanan selepas kematian suami Abdullah Daud pada 1994.
“Sebelum ini rumah dibiayai oleh suami saya dengan hasil titik peluh dia sebagai nelayan dengan kadar bayaran sebanyak RM50 sebulan.
“Selepas suami meninggal, saya ada kesulitan sikit nak bayar sebab tak ada pendapatan namun saya usaha juga berniaga makanan kecil-kecilan untuk selesaikan bayaran bulanan sehingga berjaya dapat geran hari ini,” katanya ketika ditemui di sini selepas majlis penyerahan geran berkenaan di Tanjung Dawai di sini, hari ini.
Hadir bagi menyerahkan geran itu ialah Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Ahmad Zulkifli Ismail.
Seorang lagi penerima, Mohd Abdul Rashid, 78, berkata, dia bersyukur kerana dia akhirnya dapat memiliki rumah dan tanah sendiri.
“Pendapatan nelayan tidak menentu, nak bayar bulanan RM50 sebulan pun kadang-kadang terlepas juga.
“Syukur setelah lebih 40 tahun, rumah ini akhirnya jadi hak milik kekal kami sekeluarga, dulu nilai rumah ini dalam RM14,000 sahaja sekarang kalau dinilaikan semula mencecah RM200,000 termasuk tanah.
“Terima kasih kepada kerajaan hari ini dan LKIM kerana wujudkan insentif ini kepada keluarga nelayan seperti kami,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zulkifli berkata, LKIM Kedah sudah membelanjakan kira-kira RM55 juta untuk membaik pulih dan membina rumah baharu nelayan di seluruh Kedah sejak lebih 40 tahun lalu.
Katanya, setiap keluarga yang menerima rumah perlu membayar secara ansuran bulanan mengikut perjanjian yang ditetapkan dan apabila pembayaran penuh dilakukan, LKIM akan menyerahkan geran kepada ketua isi rumah berkenaan.
“Sebelum ini kita sudah buat penyerahan membabitkan 100 buah rumah konsep unit keluarga (KUK), LKIM sangat komited menjaga kebajikan keluarga nelayan termasuk ekonomi dan sosial.
“Dari tahun tahun 1980-an harga yang mereka perlu bayar secara bulanan cuma RM50 manakala rumah baharu untuk nelayan yang terkini sebanyak RM150 sebulan,” katanya.




