SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-23 dengan langkah kiri apabila tunduk 0-1 kepada Lubnan dalam aksi Kumpulan F di Stadium Thammasat, Pathum Thani, petang semalam.
Keputusan itu menyaksikan laluan getir buat skuad kendalian Nafuzi Zain yang kini wajib meraih kemenangan dalam baki dua perlawanan jika mahu menempah tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Arab Saudi, Januari 2026.
Harimau Muda mendominasi permainan itu bagaimanapun jelas berdepan masalah penyudah apabila gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang.
Kealpaan barisan pertahanan negara pada minit ke-83 dihukum apabila Ali El Fadl menjaringkan gol kemenangan, sekali gus menjadi gol tunggal buat skuad dari Asia Barat itu.
Tugas berat digalas Nafuzi selepas ini untuk merencana strategi lebih mantap menjelang aksi menentang Mongolia pada Sabtu, sebelum berdepan tuan rumah Thailand pada 9 September.





