SKUAD Harimau Malaya cemas seketika sebelum bangkit membelasah Laos 5-1 dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Harimau Malaya terlebih dahulu menguji kubu Laos menerusi rembatan penyerang naturalisasi, Romel Morales pada minit kelima yang berjaya ditepis penjaga gol, Kop Lokphatip.
Laos yang berada di ranking 185 dunia itu berjaya membolosi gol Harimau Malaya menerusi Chanthavixay Khounthoumphone meledak gol pembukaan Laos selepas rembatannya tertampan Shahrul Saad sebelum menerjah jaring.
Skuad kebangsaan negara terpaksa menunggu hingga minit ke-59 untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma menarik Faisal Halim yang berjaya menewaskan Lokphatip.
Jaringan itu mencetus kebangkitan skuad negara apabila Morales menambah dua gol dalam tempoh lima minit – pada minit ke-65 dan 70.
Malang terus menimpa Laos selepas Khammanh Thapaseut tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-80 ketika dia cuba membuat hantaran kepada Lokphatip.
Pemain gantian, Paulo Josue melengkapkan kebangkitan penuh bergaya skuad negara di hadapan 18,901 penonton apabila meledak gol kelima selepas tidak sampai seminit dia masuk menggantikan Faisal pada minit ke-81.
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Harimau Malaya di tangga teratas Kumpulan F dengan mengumpul 12 mata selepas memenangi semua empat perlawanan awal dan tiga mata di depan pencabar utama, Vietnam.








