SKUAD Harimau Malaya semakin menghampiri kelompok ke-120 dunia selepas kini menghuni kedudukan ke-123 dunia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Kemas kini terbaharu hari ini menyaksikan skuad bimbingan Peter Cklamovski melonjak dua anak tangga berbanding kedudukan ke-125 dunia pada kemaskini Julai lalu.
Lonjakan ini dipacu dua kemenangan – ke atas Singapura dan Palestin – dalam dua aksi persahabatan, awal bulan lalu.
Kemenangan itu membolehkan skuad negara menambah 9.75 mata dan menghimpun 1148.23 mata secara keseluruhan.
Kedudukan ke-123 dunia itu menyaksikan Malaysia ketinggalan empat anak tangga di belakang seteru tradisi, Indonesia yang turun satu anak tangga ke kedudukan ke-119.
Skuad negara berpeluang menambah lagi mata melalui tiga lagi aksi kompetitif tahun ini.
Harimau Malaya akan mengharungi tiga perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 dengan dua daripadanya menentang Laos pada Oktober dan Nepal pada November.
Berdasarkan tiga perlawanan ini, berkemungkinan besar skuad negara mampu berada kedudukan 120 terbaik dunia pada tahun 2026.







