
KOTA KINABALU – Kerajaan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2026 bermula 14 hingga 28 Mac bagi mengawal harga barangan keperluan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tempoh pelaksanaan skim itu merangkumi tujuh hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.
“Ia bagi memastikan harga barangan kekal stabil serta melindungi pengguna daripada kenaikan harga yang tidak munasabah.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenal pasti jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim berkenaan mengikut lokasi.
“Sebanyak 24 jenis barangan akan dikawal di Semenanjung Malaysia, manakala 23 barangan masing-masing di Sabah dan Sarawak, serta 22 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan,” ujarnya semasa berucap pada Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Anwar berkata, antara isu yang menjadi perhatian ketika ini ialah kenaikan harga cili merah yang memerlukan kawalan.
“Yang menjadi sedikit masalah sekarang ialah harga cili merah yang naik dan terpaksa dikawal.
“Jadi saya cadangkan supaya kita memasak menggunakan cili kering dan tidak menggunakan cili merah kerana harganya agak mahal ketika ini.
“Ini kerana kita banyak mengimport cili merah dari Thailand dan tahun lalu negara itu dilanda banjir besar yang menyebabkan kerosakan kepada bekalan.
“Oleh itu saya harap perkara ini dapat difahami. Perincian lanjut akan diumumkan oleh menteri nanti,” jelasnya.



