
TOTTENHAM Hotspur memecat Thomas Frank selepas hanya lapan bulan membimbing kelab itu, susulan prestasi hambar menyaksikan mereka kini hanya lima mata di atas zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.
Keputusan itu diumumkan kelab lewat petang semalam selepas kekalahan 2-1 di laman sendiri kepada Newcastle United yang meletakkan Spurs di tangga ke-16 dengan 29 mata daripada 26 perlawanan.
“Thomas dilantik pada Jun 2025 dan kami sudah berusaha memberi masa serta sokongan untuk membina masa depan bersama.
“Namun keputusan dan prestasi menyebabkan Lembaga Pengarah berpendapat perubahan perlu dilakukan pada ketika ini, ” menurut kenyataan rasmi kelab.
Frank, 52, sebelum ini mencipta reputasi cemerlang bersama Brentford sejak tahun 2018, membantu kelab itu naik ke liga utama dan kekal kompetitif.
Namun dia gagal mengulangi formula sama di Spurs yang muncul juara Liga Europa musim lalu.
Kekalahan kepada Newcastle adalah yang ke-11 liga musim ini, dengan penyokong jelas meluahkan rasa tidak puas hati apabila laungan ‘Anda akan dipecat pagi esok’ bergema di stadium.






