
KUCHING – Sarawak menegaskan bahawa negeri ini memiliki jaminan perlembagaan untuk melaksanakan semakan kewangan setiap lima tahun seperti diperuntukkan di bawah Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri dan Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, peruntukan tersebut menjadi asas penting yang menentukan tanggungjawab kewangan Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu mengenai hak kewangan Sabah baru-baru ini menunjukkan dengan jelas bahawa kewajipan kewangan Kerajaan Persekutuan terhadap kedua-dua wilayah itu bukan bersifat pilihan, sebaliknya tertakluk sepenuhnya kepada kehendak Perlembagaan.
Beliau menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak 40 peratus kepada Sabah secara jelas, namun tiada peruntukan sama diberikan kepada Sarawak.
Walaupun begitu, katanya, Sarawak tetap dilindungi melalui mekanisme semakan kewangan berkala setiap lima tahun seperti dinyatakan dalam Artikel 112D.
“Semakan kewangan ini perlu dilaksanakan dengan prinsip yang jelas, telus dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Prinsip ini penting bagi memastikan Sarawak menerima peruntukan yang selayaknya berdasarkan kedudukan negeri dalam Persekutuan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Sharifah Hasidah turut memaklumkan bahawa rundingan berhubung Geran Khas antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan sedang berjalan dengan perkembangan positif melalui perbincangan teknikal serta konsultasi bagi memuktamadkan formula baharu yang lebih adil dan mencerminkan sumbangan sebenar negeri.
Sebagai langkah sementara, Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan Geran Khas Sarawak daripada RM300 juta pada 2024 kepada RM600 juta bermula 2025 untuk tempoh lima tahun.
Katanya, meskipun peningkatan itu dialu-alukan, Kerajaan Sarawak tetap berpendirian tegas memperjuangkan formula muktamad yang lebih komprehensif dan menjamin pembayaran jangka panjang selaras dengan hak negeri di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)




