
KOTA BELUD – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membidas dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang kononnya menubuhkan Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS), sedangkan sepanjang pentadbirannya tiada geran tanah pernah dikeluarkan melalui inisiatif itu.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinannya konsisten melaksanakan pelbagai agenda pembangunan rakyat sejak mengambil alih pentadbiran, termasuk memperkasa PANTAS yang diwujudkan pada tahun 2011 untuk mempercepatkan proses pemilikan tanah.
“Sudah banyak geran tanah yang kita serahkan kepada rakyat, beratus-ratus geran telah diberikan melalui Program PANTAS.
“Sebelum ini ada pihak pembangkang yang mendakwa merekalah yang menubuhkan PANTAS sedangkan itu tidak benar.
“Mereka tidak pernah melaksanakan apa-apa perancangan sewaktu memerintah.
“Semasa Shafie menjadi Ketua Menteri, beliau mendakwa PANTAS itu inisiatifnya.
“Hakikatnya, sepanjang pemerintahannya tiada geran tanah yang dikeluarkan. Kini beliau cuba mengambil kredit sedangkan perancangan pun tidak pernah dibuat,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Program Pusat Sehenti Daerah Kota Belud dan Ramah Mesra Komuniti SMJ Bersama Ketua Menteri Sabah di Padang Kampung Pantai Emas, di sini, pada Ahad.
Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan 512 geran tanah kepada penduduk Pintasan.
Selain itu, katanya, peluang pekerjaan semakin banyak diwujudkan termasuk pengambilan 700 pekerja baharu oleh sebuah syarikat dalam tempoh dua hari melalui program berkenaan.
“Langkah ini membolehkan rakyat Sabah bekerja di negeri sendiri tanpa perlu berhijrah ke Semenanjung.
“Kita mahu rakyat kita mendapat peluang pekerjaan dekat dengan rumah sendiri,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hajiji menyeru rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah pembangkang, sebaliknya bersatu hati menyokong calon kerajaan dalam pilihan raya akan datang.
“Siapa sahaja calon yang diletakkan di kawasan ini, saya mahu beliau mesti menang pada pilihan raya kali ini,” katanya.






