
KOTA KINABALU – Penetapan had umur belia 31 hingga 40 tahun pada 1 Januari tahun hadapan dijangka menyebabkan golongan itu tercicir daripada program pembangunan belia yang secara tidak langsung turut merencatkan proses pembangunan diri mereka.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan yang menzahirkan kebimbangan terhadap keputusan itu berkata, Pakar Psikologi dan Psikoanalisis masyhur, Carl Gustav Jang menyebut, kehidupan sebenar seseorang bermula pada umur 40 dan di bawah umur itu merupakan proses pembelajaran.
“Apabila dilaksanakan kelak (had umur belia), kita bakal menyaksikan golongan berumur 31 hingga 40 tahun di Sabah tercicir daripada program-program pembangunan belia yang dinaungi kerajaan selama ini.
“Kekhuatiran kami ialah golongan ini akan mula belajar di ‘jalanan’, menyerap fahaman dan ideologi berlainan yang sudah tentu tersasar daripada aspirasi sebenar kerajaan.
“Dalam erti kata lain, kerajaan akan hilang pengaruh terhadap golongan ini di masa depan,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.
Menurutnya, pengehadan umur belia kepada 30 tahun merupakan keputusan yang tergesa-gesa kerajaan terdahulu tanpa mengambil kira faktor demografi, geografi dan kepelbagaian budaya khususnya di negeri Sabah.
Pada masa yang sama katanya, saiz peruntukan kewangan untuk pembangunan belia di Sabah juga akan turut mengecil sekali gus mempengaruhi impak dan prestasi pembangunan belia yang banyak bergantung harap dengan suntikan kewangan daripada kerajaan.
“Apabila saiz belia mengecil, sudah tentu peruntukan kewangan untuk membangunkan belia di negeri ini turut mengecil.
“Daripada situasi ini kita boleh jangkakan impak dan prestasi pembangunan belia di Sabah juga akan turut merudum,” katanya.
Jelas Abqaree, keputusan mengehadkan umur belia yang dilakukan secara tergesa-gesa sepatutnya dijadikan panduan untuk menentukan had umur belia yang sebenar.
“Mempercepatkan proses kematangan belia di Malaysia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk memangsakan kepentingan anak-anak muda yang lain,” ujarnya.





