PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menguatkuasakan siling gaji baharu bagi maksud caruman mulai hari ini.
Perkeso dalam satu kenyataan berkata, penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang melibatkan peningkatan had siling gaji bagi maksud caruman daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.
Menurutnya, langkah meningkatkan siling gaji tersebut dapat memberi manfaat yang lebih baik kepada pekerja yang berskala gaji melebihi RM5,000 menerusi peningkatan kadar bayaran faedah sedia ada sehingga 20.2 peratus.
“Faedah-faedah tersebut adalah seperti Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Pencen Ilat dan Penakat di bawah Akta 4 serta Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) mengikut Akta 800.
“Mulai hari ini, amaun caruman yang terpakai bagi pekerja bergaji melebihi RM5,000 dan RM6,000 sebulan adalah seperti mana dinyatakan dalam Jadual Ketiga, Akta 4 serta Jadual Kedua, Akta 800,” katanya.
Tambah kenyataan itu, bayaran caruman bermula hari ini dan seterusnya hendaklah dibuat oleh majikan mengikut pindaan had siling gaji baharu.
Ujarnya, majikan diminta mencatatkan jumlah potongan caruman dalam penyata atau slip gaji pekerja masing-masing bagi tujuan rekod dan aktiviti pemeriksaan oleh Perkeso.







