ERLING Haaland mencipta sejarah apabila menjadi pemain paling pantas menjaringkan 50 gol Liga Juara-Juara Eropah, ketika membantu Manchester City menewaskan Napoli 2-0 dalam aksi pembukaan kempen di Etihad.
Penyerang Norway itu menanduk masuk hantaran Phil Foden pada minit ke-56, mencatat 50 gol dalam hanya 49 penampilan – memecahkan rekod Ruud van Nistelrooy yang melakukannya dalam 62 perlawanan pada tahun 2007.
City menambah gol kedua sembilan minit kemudian menerusi Jeremy Doku yang pantas melepasi dua pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol Vanja Milinkovic-Savic dari sudut sempit.
Napoli terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit ke-21 selepas kapten Giovanni Di Lorenzo dilayangkan kad merah kerana mengasari Haaland.
Situasi itu memaksa pengendalinya, Antonio Conte mengorbankan bekas kapten City, Kevin De Bruyne, yang dikeluarkan seawal minit ke-25 pada kepulangannya ke Etihad.
City mendominasi sepanjang perlawanan dengan 23 percubaan berbanding satu sahaja buat Napoli, namun Milinkovic-Savic tampil cemerlang menafikan beberapa peluang, termasuk kesilapan Matteo Politano yang hampir membolosi gawang sendiri.







