
KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal utuh dan berada dalam keadaan baik, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji berkata demikian selepas menghadiri pertemuan minum petang bersama kesemua tujuh presiden parti komponen GRS di Sri Gaya hari ini, yang disifatkannya sebagai mesra dan harmoni.
“Semua presiden telah menyatakan komitmen untuk memastikan kemenangan GRS dalam pilihan raya akan datang.
“Saya menghargai pandangan dan pendapat mereka.
“Mereka semua merupakan pemimpin politik yang matang dan memahami kepentingan GRS sebagai satu gabungan yang bersatu menghadapi pilihan raya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) meluangkan hampir tiga jam bersama pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin; dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.