
SANDAKAN – Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bukan TVET yang mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) diyakini tidak akan berdepan masalah untuk bekerja di luar negara atau melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, jaminan itu berikutan pengiktirafan antarabangsa terhadap sistem akreditasi yang dilaksanakan agensi berkenaan.
“MQA tidak pernah berkompromi soal kualiti, sama ada TVET atau bukan TVET. Kita komited meningkatkan daya saing TVET, malah baru-baru ini meluluskan label pengajian TVET sehingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).
“Dengan itu, graduan TVET boleh pergi ke mana sahaja, malah sambutan terhadap program TVET semakin memberangsangkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sandakan Sabah Kali Ke-12 di Bilik Mesyurat Kompleks Sandakan, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, MQA memastikan kualiti program TVET berlandaskan Code of Practice for TVET Programme Accreditation (COPTPA) yang menekankan tujuh aspek penting termasuk tenaga pengajar, kualiti pelajar, fasiliti, pengurusan serta kepimpinan.
“Institusi pengajian tidak boleh berkompromi kerana MQA sentiasa membuat penilaian dan audit.
“Jika didapati melanggar peraturan, akreditasi boleh ditarik balik.
“Dalam konteks politeknik, kita yakin kerana mereka sentiasa menjaga kualiti justeru graduan politeknik sentiasa laris di pasaran kerja,” katanya.
Mengulas cadangan untuk memperkenalkan program peringkat ijazah di Politeknik Sabah, beliau menjelaskan ia tertakluk kepada kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Politeknik tertentu seperti Politeknik Ungku Omar (PUO) sudah boleh menawarkan program ke peringkat tinggi, termasuk doktoral.
“MQA akan menyokong mana-mana politeknik atau kolej komuniti yang berhasrat menawarkan program lebih tinggi selepas mendapat kelulusan kementerian.
“Ini penting kerana politeknik dan kolej komuniti menjadi laluan terbaik, khususnya kepada golongan B40,” jelasnya.
Terdahulu, seramai 307 graduan Politeknik Sandakan Sabah diraikan dalam majlis konvokesyen berkenaan yang terdiri daripada lepasan Diploma Akuakultur dan Diploma Agroteknologi melibatkan 228 graduan Sesi II 2023/2024 dan 79 graduan Sesi I 2024/2025.








