NORWAY mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico selepas membelasah Itali 4-1 di San Siro, sekali gus menamatkan penantian 27 tahun sejak penampilan terakhir mereka pada 1998.
Bintang sensasi Manchester City, Erling Haaland muncul wira dengan dua gol pantas pada minit ke-78 dan 79 untuk memastikan Norway menutup Kumpulan I dengan rekod sempurna, meraih 24 mata maksimum daripada lapan perlawanan kelayakan.
Norway sebenarnya hanya perlu mengelak kekalahan besar sembilan gol atau lebih untuk mengekalkan slot automatik, namun tampil garang walaupun perlawanan berlangsung dalam hujan lebat di San Siro.
Gol Haaland menyaksikan penyerang berusia 25 tahun itu kini menjaringkan 16 gol sepanjang kempen kelayakan, sekali gus meneruskan rekod menakjubkan musim ini dengan purata lebih daripada satu gol setiap perlawanan untuk kelab dan negara.
Itali yang membuka jaringan melalui Pio Esposito pada minit ke-11 hilang rentak selepas Antonio Nusa meledak gol penyamaan pada minit ke-63.
Selepas itu, hanya Norway tampak bernafsu mencari kemenangan sebelum Jorgen Strand Larsen melengkapkan kemenangan bergaya pada masa kecederaan.
“Kita lihat bagaimana undian nanti… saya sebenarnya masih belum memikirkannya. Bagi saya (awal pagi tadi), adalah 99 peratus ke 100 peratus dan sekarang, kami perlu mengharunginya dengan sebaik mungkin,” kata pengendali Norway, Stale Solbakken.
“Kita nantikan undian sebelum kita memikirkannya lebih lanjut.”
Kekalahan itu memaksa Itali yang menamatkan saingan enam mata di belakang Norway, akan melalui laluan play off Mac depan.
Usaha Itali untuk layak secara automatik sebenarnya dirumitkan seawal perlawanan pertama kumpulan apabila tewas 0-3 kepada Norway, kekalahan yang menamatkan era Luciano Spalletti sebagai pengendali.
Di bawah kendalian Gennaro Gattuso, prestasi Itali tampak meningkat namun tetap kekurangan pemain bertaraf dunia seperti Haaland, sesuatu yang jarang berlaku bagi negara yang pernah melahirkan legenda bola sepak.







