KUANTAN – Pasukan bola jaring bawah 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Bukit Goh, dekat sini, merekodkan tujuh kemenangan daripada lapan perlawanan.
Persembahan bertenaga skuad perempuan sekolah itu ditampilkan pada Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) yang berlangsung di gelanggang bola jaring TAR-UMT, dekat Mahkota Valley.
Guru Besar sekolah itu, Wan Ahmad Shauqi Wan Mohd Yusoh berkata, kejayaan skuad bola jaring berkenaan adalah hasil kesungguhan dan dedikasi guru pembimbing, jurulatih, pengurusan pasukan dan murid-murid terbabit.
![]()
“Pencapaian ini sudah tentu membanggakan kami semua warga SK LKTP Bukit Goh.
“Ini adalah hasil semangat kerja berpasukan, usaha gigih jurulatih serta komitmen tinggi murid-murid.
“Saya berharap kejayaan ini menjadi pemangkin semangat mereka untuk terus cemerlang bukan sahaja dalam bidang sukan, tetapi juga dalam akademik dan sahsiah diri,” katanya.
Kontinjen bola jaring Gohillians itu diketuai pengurus pasukan, Suryani Mohamed Yunus bersama tiga jurulatih, Siti Afiqah Ismail; Wan Nur Hafizah Wan Adik dan Zaleha Mamat@Ahmad.
Selain mencatatkan keputusan cemerlang dalam setiap perlawanan disertai, pemain Gohillians, Sharifah Nur Husna Adawiyah Syed Zulkifli dipilih sebagai pemain pertahanan terbaik kejohanan itu.





