
TAWAU – Geng aktif dalam kegiatan mencuri basikal berjenama di sekitar bandar Tawau akhirnya tumpas susulan penahanan dua lelaki oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di sini, pada Isnin.
Kedua-dua suspek berusia 30 dan 51 tahun itu ditahan oleh sepasukan ’Strike Team’ dari Balai Polis Tawau di dua lokasi berlainan.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya sedang menjalankan tugas Op Kesan di sekitar kawasan Taman Ria 7 dan semasa rondaan dibuat, seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di hadapan rumahnya seterusnya dikenal pasti sebagai suspek kes jenayah curi.
“Semasa polis mendekati, suspek cuba untuk melarikan diri serta bertindak agresif namun berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek membawa dua paket plastik lutsinar kecil berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.03 gram dalam poket seluar suspek.
“Susulan penangkapan itu, seorang suspek warga tempatan juga ditahan di Kampung Tanjung Darat, Tawau kira-kira jam 1.30 pagi,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook Polis Daerah Tawau semalam.
Tambah beliau, hasil serbuan itu, polis menemukan sebuah basikal berjenama yang diubah suai disorokkan di belakang rumah suspek.
Katanya, kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
