
LAHAD DATU – Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam usaha menggempur Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kawasan setinggan, di sini, pada Selasa.
Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata, semasa serbuan pihaknya menghadapi kesukaran akses ke kawasan itu disebabkan keadaan struktur rumah yang tidak teratur serta berlumpur.
“Kawasan rumah setinggan berkenaan yang berbukit-bukau juga memberi kesukaran kepada kenderaan penguat kuasa untuk memasuki kawasan tersebut.
“Namun operasi berjalan dengan lancar dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menerusi operasi yang dijalankan pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi itu, seramai 24 PATI iaitu 23 PATI warga Filipina dan seorang lelaki dewasa warga Indonesia telah dicekup.
“Warga Filipina itu membabitkan 16 orang lelaki dewasa, empat orang perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang orang kanak-kanak perempuan.
“Mereka yang berumur di antara 5 bulan hingga 55 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya.
Tegas Sh Sitti Saleha, operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Operasi turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha dan Pengarah Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Basri Othman.




